Tazkirah 3 : Apabila Ketamakan Menguasai Jiwa

 

Hidup memang sibuk. Apa salahnya jika sekali-sekala isi kesibukan itu dengan membaca tazkirah ini.

**********************************************************************************************************************

Jika anda berniaga, anda mestilah memikirkan dari segi ekonomi bagaimana hendak untung dan tidak rugi. Jika anda pengamal undang-undang, anda mestilah berusaha agar keadilan dinikmati oleh setiap yang berhadapan dengan proses penghakiman. Jika anda berpolitik, anda sepatutnya berfikir bagaimana untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Jika anda menyeru kepada Islam, anda sepatutnya berfikir bagaimanakah cara agar mesej Islam yang benar atau hidayah sampai dan berkesan untuk sasaran.
Bagi setiap bidang itu ada regunya atau hala tuju yang mesti jelas dalam pemikiran pengamalnya. Jika regu bidang ini ditukar putar sehingga tidak menepati matlamat yang sepatutnya, maka rosaklah bidang tersebut. Seseorang mungkin boleh mendapat faedah sampingan daripada bidang tertentu. Namun faedah tersebut jangan sampai menjejaskan matlamat yang asal.

Umpamanya jika pengamal undang-undang berfikir bagaimana untuk menghasilkan wang semata-mata sehingga mengenepikan soal keadilan. Atau jika ahli politik menganggap tujuan kegiatan politiknya untuk mengaut keuntungan sekalipun mengkhianati amanah rakyat. Atau jika penyampai dakwah islam bertujuan memperolehi habuan dunia walaupun menjejaskan tujuan asal dakwah. Maka pincanglah alam, rosak imbangan dan musnah segala peraturan dan tujuan kehidupan. Namun inilah realiti yang sedang kita hadapi sekarang..

Ustaz-ustaz dalam negara ini sering membaca hadis dhaif : “Hampirlah kefakiran itu menjadi kekufuran”. Hadis ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Namun hadis ini sering dibaca oleh panel-panel forum atau ceramah yang kurang teliti disiplin hadis, atau agak terburu-buru ingin memenuhi hasrat pihak menaja ceramah atau forum perdana yang biasanya dianjurkan oleh pihak yang dinamakan diri dengan “kemajuan Islam’.

Malang sekali mereka melupai hadis yang sahih yang merupakan amaran Nabi s.a.w terhadap umat ini. Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim:
“Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu dunia seperti mana dibentangkan kepada mereka yang terdahulu dari kamu (umat yang silam), lalu kamu bersaing untuk mendapatkannya seperti mana mereka bersaing. Lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti mana ia telah memusnahkan mereka”.

Ya, inilah realitinya. Memang, Islam tidak menyukai kefakiran, sebab itulah diperintahkan agar setiap muslim berusaha dan bekerja, menjadi rezeki dan menanggung bebanan keluarga, juga diperintahkan agar dibantu fakir miskin. Namun ketamakan kepada harta jauh lebih merbahaya daripada kefakiran. Apabila ketamakan menguasai diri, manusia bersaing sesama sendiri sehingga ke peringkat bunuh membunuh, jatuh menjatuh, dan tumbang menumbang. Dipertaruhkan maruah, harga diri, amanah, harta rakyat bahkan mungkin nyawa orang lain hanya semata kerana ketamakan harta. Hampir semua orang yang fakir ingin keluar dari kefakirannya, namun si tamak amat sukar untuk diheret keluar dari daerah ketamakan.

Mengubati kefakiran sebenarnya lebih mudah dari mengubati ketamakan. Penyakit kefakiran itu pula khusus untuk yang tiada harta dan amat miskin, sementara tamak boleh menimpa yang kaya dan miskin, yang jutawan dan yang dalam kefakiran. Ia boleh mengenai pemerintah dan rakyat, mat rempit dan ustaz.
Bukan Islam anti-harta, sama sekali tidak. Islam agama kerja dan mencari rezeki. Sehingga selepas solat Jumaat pun Islam tidak pernah mewajibkan untuk duduk di masjid untuk panjang-panjang. Sebaliknya disuruh untuk kita bertebaran mencari rezeki. Ini seperti firman Allah: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan (azan) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan Solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai Solat Jumaat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)” (Surah al-Jumuah, ayat 9 -10).

 

More Articles :

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s